Rombakan Media Mulia: Hampir 100 Pekerja dan Wartawan Utusan Malaysia–Kosmo Berdepan Risiko Hilang Kerja

Kuala Lumpur : Hampir 100 kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! dilaporkan berdepan risiko kehilangan pekerjaan apabila syarikat berkenaan merombak semula model perniagaan dengan alasan bagi menghadapi perubahan besar industri media.

Menurut kenyataan yang dipetik dalam laporan berkenaan, Ketua Pegawai Kewangan merangkap Pengarah Media Mulia, Abd Wahid Idris, berkata langkah rasionalisasi itu dilaksanakan ketika industri semakin memberikan tumpuan kepada platform digital.

Beliau berkata, program tersebut bertujuan menilai semula keperluan operasi, penggunaan sumber manusia serta keupayaan syarikat untuk memperkukuh kandungan digital dan penyampaian berita.

Menurutnya, penilaian itu turut mengambil kira kemampanan perniagaan syarikat pada masa hadapan.

Media Mulia turut memberikan jaminan bahawa identiti dan legasi Utusan Malaysia serta Kosmo! akan terus dipelihara, termasuk keunikan kandungan, pendekatan pemberitaan dan kredibiliti kedua-dua jenama.

Abd Wahid berkata, langkah penyesuaian strategik itu diperlukan bagi memastikan kelangsungan organisasi.

Menurut kenyataan tersebut, syarikat juga komited menjaga kebajikan dan hak kakitangan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tumpuan akan terus diberikan kepada penghasilan kandungan editorial yang berkualiti, berwibawa dan dipercayai.

Untuk Rekod Untuk rekod Abd Wahid juga adalah individu yang terlibat dalam penamatan operasi syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, iaitu syarikat akhbar Melayu tertua di negara ini pada tahun 2019 yang menyebabkan sekitar 800 terutama wartawan hilang pekerjaan.

Ketika itu Utusan Melayu adalah penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Kini Abd Wahid sekali lagi diberi kepercayaan oleh pemegang saham Media Mulia untuk melakukan tindakan yang seakan-akan menyamai peristiwa pada tahun 2019 di mana para pekerja diberi notis pada pukul 2 petang dan perlu mengosongkan pejabat menjelang pukul 6 petang.

Sementara itu, menurut sumber dalaman yang dipetik dalam laporan berkenaan, program cuti berbayar tersebut dijangka berlangsung selama tiga bulan, dipercayai bermula pada 11 November.

Sumber itu turut menyatakan kemungkinan pemberhentian kerja atau pelaksanaan skim pemisahan bersama selepas tempoh berkenaan.

Jika ia menjadi kenyataan maka pekerja-pekerja akan kehilangan mata pencarian untuk menyara keluarga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

BBerkaitan

Latest articles