RMK12: Keutamaan Kepada Projek Mendesak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan hari ini akan membatalkan projek-projek yang telah lama diluluskan termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu bagi melaksanakan projek-projek rakyat yang lebih mendesak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menjelaskan mengenai pembatalan itu, ujar Anwar kesemua projek yang dibatalkan itu adalah yang belum dapat dimulakan dalam tempoh masa munasabah.

Dalam pada itu satu Jawatankuasa Khas Pemantauan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 akan ditubuhkan dalam memastikan setiap anggota Kabinet memantau pelaksanaan projek RMK12 agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah.

“Pelan bagi pemantauan pelaksanaan kebijakan KSP RMK12 disediakan sebagai panduan bagi setiap kementerian dan agensi untuk melaksanakan semua kebijakan ini.

“Sebahagian daripada sasaran KSP RMK12 juga akan dijadikan KPI kementerian,” katanya ketika membentangkan KSP RMK12 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan mengajak semua anggota dalam kerajaan, termasuk anggota pentadbiran dan ketua jabatan untuk bekerja dan berkhidmat dengan jujur serta amanah.

Ini supaya isu salah laku dan teguran audit yang telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.

Dalam masa yang sama, Anwar menekankan bahawa Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan semua strategi dan inisiatif yang direncanakan dalam KSP RMK12 secara teratur, bersistematik dan bertanggungjawab.

Katanya, Kerajaan Perpaduan akan berfungsi sebagai sebuah kerajaan cekap dan tangkas bekerja untuk memenuhi harapan rakyat, yang menepati ciri-ciri al-Qawiy al-Amin (berdaya saing dan berintegriti) dan Hafizun Alim (pelindung yang beramanah dan berilmu).

“Insya-Allah kita akan terus mengambil pendekatan aktif mendengar (perkara) yang melibatkan rakyat, menerima teguran supaya pelaksanaan RMK12 dapat dijalankan dengan memuaskan dan membantu kita dalam merangka RMK13,” katanya.

KSP RMK12 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi’ merangkumi 17 anjakan besar sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama bagi memacu dan melonjak pembangunan negara dengan mengangkat darjat serta memperkasa rakyat.

BBerkaitan

Latest articles