MP PAS Persoal Wa‘ad Kerajaan, Empat Janji Manifesto PH Belum Ditunaikan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan empat janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang didakwa masih belum ditunaikan sejak membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan susulan konsep wa‘ad atau janji yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2027.

Menurutnya, janji dalam Islam merupakan amanah yang wajib ditunaikan dan bukan sekadar ungkapan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.

Antara janji yang dibangkitkan ialah pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan seperti terkandung dalam Manifesto PH 2018.

“Sehingga hari ini, kedua-dua jawatan masih disandang oleh individu yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Fadhli turut mempersoalkan pelaksanaan janji untuk memastikan pencalonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan seperti dinyatakan dalam Perkara 21 Manifesto PH, Kita Boleh.

Selain itu, beliau membangkitkan janji untuk menyemak pencalonan jawatan utama negara, termasuk Pendakwa Raya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ketua Polis Negara melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, seperti terkandung dalam Perkara 30 manifesto berkenaan.

“Janji keempat pula melibatkan pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tanpa mengira parti,” jelasnya.

Menurutnya, beliau hanya sempat membangkitkan empat perkara itu berikutan kekangan masa ketika perbahasan, sedangkan terdapat lebih banyak janji manifesto PH yang menurutnya masih belum ditunaikan.

Dalam perbahasan sama, Fadhli turut membangkitkan isu kegagalan kerajaan mencapai sasaran jangka sederhana nisbah hutang Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 60 peratus.

Beliau merujuk perkembangan nisbah hutang Persekutuan yang meningkat daripada 60.4 peratus pada 2022 kepada 64.3 peratus pada 2023, sebelum naik kepada 64.6 peratus pada 2024 dan 65.3 peratus pada 2025.

Bagi 2026 dan 2027, nisbah berkenaan masing-masing diunjurkan pada 64 peratus dan 63.7 peratus.

Fadhli berkata, ketika kerajaan mengambil alih pentadbiran pada penghujung 2022, nisbah hutang Persekutuan berada pada paras 60.4 peratus.

Bagaimanapun, selepas hampir empat tahun pentadbiran, nisbah itu masih diunjurkan berada pada paras 63.7 peratus menjelang 2027, iaitu melebihi sasaran 60 peratus yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, meskipun kerajaan boleh berhujah bahawa defisit fiskal semakin mengecil, nisbah hutang kepada KDNK masih lebih tinggi berbanding ketika pentadbiran bermula.

“Persoalannya, di mana pencapaian terhadap sasaran yang telah dijanjikan?” katanya.

Menurut Fadhli, konsep wa‘ad tidak seharusnya disebut sekadar menghiasi ucapan Belanjawan, sebaliknya perlu disusuli dengan pelaksanaan janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Jangan hanya bercakap tentang wa‘ad untuk hari esok, sedangkan wa‘ad semalam masih menunggu untuk ditunaikan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles