KUALA LUMPUR: Kelewatan pengagihan baja bersubsidi kepada pesawah di Kedah dan Perlis mencetuskan bantahan, sekali gus mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau menyambut baik tindakan SPRM dan berharap siasatan dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Beliau berkata, dirinya turut dipanggil untuk memberikan keterangan, namun menegaskan penentuan sama ada berlaku rasuah atau sebaliknya perlu diserahkan kepada pihak penyiasat.
Menurutnya, kementerian sudah mengambil langkah menangani isu itu selepas menerima pengesahan bahawa penghantaran baja sememangnya mengalami kelewatan ketika beliau mengadakan lawatan tanpa notis ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Hasil perbincangan dengan pengurusan baharu MADA, kementerian mengenal pasti pembekal yang tidak memenuhi tanggungjawab ditetapkan sebelum mengesyorkan penamatan kontraknya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan.
“Kontrak syarikat itu kemudiannya dihentikan dan selepas itu SPRM pun masuk,” katanya ketika menjawab soalan pada Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Siasatan SPRM menyusul aduan berhubung kegagalan pembekal swasta yang dilantik sebagai subkontraktor di bawah kerangka Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)-Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menghantar Baja 3 atau baja sebatian mengikut jadual.
Kelewatan itu membabitkan kira-kira 100,000 hektar kawasan sawah padi di bawah seliaan MADA di Kedah dan Perlis.
NAFAS lazimnya bertanggungjawab mengagihkan baja bersubsidi kepada pesawah menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).










