KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Utama Ir Hasni Mohammad antara empat Ahli Parlimen yang dilantik menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen selepas usul berkenaan diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu.
Dua lagi Ahli Parlimen yang dilantik ialah Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pelantikan itu membabitkan dua Ahli Parlimen daripada blok Kerajaan dan dua daripada Kumpulan Pembangkang.
Menurut beliau, pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869].
Anwar berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen kembali berkuat kuasa selepas lebih tiga dekad dimansuhkan, sekali gus memberikan autonomi kepada Parlimen untuk mengurus pentadbiran dan hal ehwalnya sendiri.
Beliau berkata, langkah itu merupakan penanda aras penting dalam reformasi institusi Parlimen, selain memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai tonggak demokrasi berparlimen negara.
Anwar turut berharap keempat-empat Ahli Dewan Rakyat yang diberikan amanah itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, tanggungjawab dan semangat kerjasama.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan Parlimen terus berfungsi sebagai institusi yang bebas, berwibawa dan mengutamakan kepentingan rakyat.










