RFID: Kerajaan putuskan pengguna perlu diberi pilihan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Pengguna perlu diberikan pilihan sama ada mereka mahu menggunakan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) atau tidak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, mesyuarat Kabinet pada Rabu membincangkan isu tersebut dan sepakat dengan ketetapan agar rakyat mesti diberikan pilihan.

Mengambil contoh perkhidmatan ‘Touch n’ Go’ yang diperkenalkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata ia tidak dilaksanakan secara terus namun berbentuk pilihan kepada rakyat.

“Cuma kita kata cadangan bagus tetapi dari segi pengguna mereka mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID atau nak guna ‘Touch n’ Go’ atau ‘Smart TAG’.

“Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong RFID Dan selebihnya ‘Touch n’ Go’ dan Smart TAG.

“Kita tak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID mudahkan jalan, mereka boleh tukar,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kerja Raya telah diarahkan memanggil syarikat konsesi tol terbabit untuk membincangkan perkara tersebut.

“(Kerajaan) akan pastikan pada masa akan datang, kalau melibatkan bayaran, kena rujuk pada Kabinet,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan PLUS Malaysia Bhd (PLUS), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan RFID.


Menurutnya RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG).

Pada 16 Disember 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan 2022.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.

BBerkaitan

Latest articles