MELAKA: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar leher serta kedua-dua tangannya di sebuah rumah di kawasan Jonker Walk, Ahad lalu, disyaki berada di bawah pengaruh ‘mushroom vape’ yang didakwa dibekalkan teman lelakinya.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 10.33 malam itu dipercayai berlaku selepas mangsa mengalami tekanan emosi apabila dilarang ibu angkatnya keluar bersama teman lelaki berusia 17 tahun.
Menurut beliau, mangsa yang berang dengan larangan tersebut kemudian masuk ke bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan sebelum bertindak mengelar leher dan kedua-dua belah tangannya menggunakan sebilah pisau.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar wad semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ibu angkat mangsa yang berusia 49 tahun mendakwa remaja itu berada di bawah pengaruh ‘mushroom vape’ sehingga bertindak di luar kawalan.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati bahan terlarang itu dipercayai diperoleh daripada teman lelakinya yang merupakan pelajar Tingkatan Empat.
“Remaja terbabit dipercayai mula terjebak dengan tabiat menghisap vape sejak Februari lalu selepas berkenalan dengan teman lelakinya,” ujarnya.
Tambah beliau, ibu angkat mangsa yang bekerja sebagai penjaga tokong turut bertindak merampas peranti vape tersebut bagi menghalang remaja itu daripada terus menggunakannya.
Dalam pada itu, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan beberapa penghuni rumah yang berusia antara 14 hingga 75 tahun bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat, namun kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai terdapat unsur pengabaian atau kecuaian terhadap mangsa,” katanya.
Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai mengelar leher sendiri di kediamannya di sekitar Banda Hilir sebelum diselamatkan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.










