KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan tahun ini meskipun isu berkaitan hak 40 peratus Sabah masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendirian tersebut dipersetujui dalam sesi perbincangan khas melibatkan pimpinan utama gabungan itu bersama wakil ahli-ahli Yang Berhormat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.
Menurut beliau, perbincangan berkenaan turut disertai tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JT-MTPMA63).
“GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga.
“Kita yakin Kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Armizan berkata, keyakinan itu bersandarkan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyatakan Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas kepada Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, GRS dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan terus menggunakan saluran rundingan yang diwujudkan bagi memastikan kadar baharu Pemberian Khas dapat dimuktamadkan dengan nilai yang lebih tinggi demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
Menurutnya, peningkatan kadar Pemberian Khas daripada RM26.7 juta bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini telah membolehkan pelbagai program kebajikan dan pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Antara inisiatif yang dibiayai menerusi peruntukan tersebut ialah program Rumah Mesra SMJ yang merekodkan 6,634 rumah siap dibina dan diduduki golongan miskin setakat 30 April lalu, selain Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi bantuan tunai bulanan kepada kira-kira 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah.
Beliau berkata, sekiranya kadar Pemberian Khas ditingkatkan lagi, kerajaan negeri bercadang memberi tumpuan kepada projek menaik taraf sistem perpaipan air bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) serta pembinaan jambatan terutama di kawasan luar bandar.










