KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Caprice berpendapat penubuhan parti baharu Bersama Malaysia (Bersama) oleh Rafizi Ramli merupakan usaha bekas Timbalan Presiden PKR itu untuk meneruskan aspirasi politiknya di peringkat nasional.
Menerusi satu video ulasan yang dimuat naik di Facebook, Caprice berkata, beliau melihat langkah Rafizi meninggalkan PKR dan menubuhkan parti baharu sebagai sebahagian daripada hala tuju politik peribadi yang telah lama diimpikan oleh bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
“Saya rasa Bersama ini disusun untuk Rafizi menjadi Perdana Menteri seterusnya di Malaysia. Itu selalu merupakan aspirasi dia.
“Jika dilihat dalam PKR, Rafizi merupakan antara pemimpin kanan parti dan pada satu ketika dilihat mempunyai laluan untuk menduduki jawatan lebih tinggi dalam politik negara,” katanya.
Bagaimanapun, Caprice menegaskan pandangannya itu adalah berdasarkan pemerhatian peribadi terhadap perkembangan politik semasa.
Menurut beliau, senario tersebut mengingatkannya kepada sejarah politik negara yang menyaksikan perbezaan haluan antara tokoh politik utama pada penghujung 1990-an antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga mencetuskan gerakan reformasi.
“Jika dilihat, Rafizi meninggalkan parti dan memulakan Bersama. Pada pandangan saya, ia adalah cara beliau meneruskan aspirasi politiknya sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, Caprice berpandangan landskap politik Malaysia pada masa kini tidak lagi didominasi oleh sebuah parti tunggal seperti sebelum ini.
Beliau berkata, mana-mana parti yang ingin membentuk kerajaan selepas pilihan raya perlu bekerjasama dengan parti-parti lain bagi memperoleh sokongan mencukupi.
“Oleh sebab itu, tidak kira apa yang dijanjikan mana-mana parti hari ini, realitinya mereka tetap perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam membentuk kerajaan,” katanya.
Caprice turut menyifatkan Rafizi sebagai seorang individu yang mempunyai kemampuan berfikir dan merancang dengan baik, namun berpandangan beliau masih perlu membuktikan keupayaan sebagai pemimpin yang mampu membina gerakan politik berskala besar.
“Ini hanyalah pandangan saya. Rafizi seorang pemikir yang hebat, tetapi saya merasakan beliau bukan seorang pemimpin seperti tokoh-tokoh besar yang pernah mewarnai politik negara,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi tewas dalam pemilihan PKR bagi jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar.
Kemudian, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan sebelum tampil menubuhkan parti baharu dikenali sebagai Bersama Malaysia (Bersama).










