Remaja Malaysia Ditahan Di Hong Kong Disyaki Jadi Keldai Dadah

KUALA LUMPUR: Polis percaya remaja lelaki warga Malaysia berusia 19 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong minggu lalu bersama kira-kira tiga kilogram bunga ganja dipercayai menjadi mangsa sindiket keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan mendapati suspek yang berasal dari Sarawak tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia.

Pihaknya turut mengesahkan menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Hong Kong berhubung penahanan itu.

Menurut pihak berkuasa Hong Kong, dadah yang dianggarkan bernilai HK$500,000 (kira-kira RM260,000) ditemui dalam bagasi suspek ketika pemeriksaan kastam selepas tiba dari Kuala Lumpur melalui Singapura.

Jika disabitkan kesalahan mengedar dadah, suspek berdepan hukuman denda sehingga HK$5 juta (RM2.6 juta) dan penjara seumur hidup mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong.

Kes itu berlaku kurang sebulan selepas seorang lagi rakyat Malaysia dari Sarawak ditahan di Macau bersama hampir tiga kilogram heroin.

Bagaimanapun, polis memaklumkan setakat ini belum ada bukti yang mengaitkan kedua-dua kes dengan sindiket yang sama.

BBerkaitan

Latest articles