Seorang bayi perempuan maut selepas dicampak oleh ibunya dari tingkat 14 sebuah hotel di Jalan Bukit Mata, Kuching, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata bayi itu ditemui orang ramai yang kemudian menghubungi polis, 9.20 malam tadi.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah membuat siasatan di tempat kejadian dan menemui mayat bayi terbaring di tempat kejadian dengan kecederaan di bahagian kepala,” katanya.
Hasil siasatan lanjut, remaja perempuan berusia 19 tahun yang disyaki ibu kepada bayi berkenaan ditahan di bilik hotel terbabit, malam tadi.
Katanya, remaja itu dipercayai melahirkan bayi itu di dalam bilik hotel sebelum mencampaknya dari tingkat 13.
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut manakala suspek dihantar ke HUS untuk rawatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.