‘Jangan Guna Lesen Mualaf Kecam Kaum Sendiri’ – Azhar Sulaiman

​KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Azhar Sulaiman atau lebih mesra disapa Behar, menggesa pendakwah mualaf seperti Firdaus Wong dan Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah agar menyampaikan syiar Islam secara harmoni dan berhemah tanpa timbul perbalahan.

​Menurut Azhar, tindakan pendakwah mualaf yang kelihatan “berperang” atau mengecam kaum asal mereka sendiri berhubung isu keagamaan adalah sesuatu yang tidak wajar.

​”Kepada Saudara Ku Firdaus Wong & Ridhuan Tee Yang Saya Hormati. Pada saya, setelah anda berdua berhijrah, ‘jihad’ anda adalah untuk menyebarkan Syiar Islam secara harmoni dan kedamaian ke seluruh galaksi.

​”Tidak elok melihat seorang saudara Muslim mualaf, sama ada Cina atau India, ‘berperang’ dengan kaum mereka sendiri pasal Islam. Biarlah NGO Melayu yang selesaikan semua masalah yang berkaitan agama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.

​Mengulas lanjut di ruang komen, Azhar turut menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak sepatutnya menggunakan kedudukan sebagai mualaf sebagai ‘lesen’ untuk mengecam masyarakat bukan Islam daripada kaum asal mereka.

​”Jangan gunakan konsep atau ‘lesen’ Cina mualaf boleh kecam Cina atau India mualaf boleh kecam India. Tak betul cara ini…

​”Di sini mereka berdua diraikan, tetapi di laman-laman bukan Muslim mereka dikecam hebat dan dibenci. Jadi bagaimana mereka mahu menjadi ‘duta’ untuk Islam?” soalnya.

​Tambah beliau lagi, sebarang isu perundangan atau pencerobohan seperti masalah tempat ibadat haram sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemilik tanah.

​”Masalah tempat ibadat haram adalah masalah PBT dan pemilik tanah. Bila NGO masuk campur, ianya sudah nampak lain.

​”Behar buat hantaran ini sebab mereka berdua teruk dikecam dan dikutuk oleh bukan Muslim.

“Jadinya bagaimana mahu betulkan keadaan? Adakah dengan terus berbalah? Saya rasa tidak begitu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles