RCI Tabung Haji: Siasat Sampai ‘Ke Lubang Cacing’, Kerajaan Komited Pertahan Amanah Pendeposit

​KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani menegaskan komitmen penuh untuk memastikan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.

​Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, walaupun pihaknya menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan sedia memberi kerjasama penuh jika diperlukan, fokus utama pada masa ini kekal kepada pelaksanaan RCI secara telus tanpa kompromi.

​Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli menjelaskan bahawa keanggotaan RCI Tabung Haji dianggotai oleh enam tokoh berwibawa tinggi yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021.

​”Gabungan kepakaran ini merangkumi bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah, dan audit.

“Ia memastikan setiap siasatan serta cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil, serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

​Beliau berkata, siasatan berkenaan turut disokong oleh titah perkenan YDPA ke-16 pada 2021, berserta ketegasan titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu yang menuntut agar sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.

​Menurutnya lagi, desakan berterusan pelbagai pihak sejak 2019 jelas membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dipandang remeh.

​Sehubungan itu, Kerajaan Madani berikrar akan menggalas amanah besar tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab serta rasa gerun kepada Allah S.W.T, selain memastikan setiap kezaliman atau salah laku ditangani secara tegas berlandaskan undang-undang negara.

BBerkaitan

Latest articles