MELAKA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya menguasai majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas memperoleh 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi mengesahkan kemenangan gabungan berkenaan, lapor BERNAMA.
Bagaimanapun, keputusan itu berbeza daripada pengumuman awal Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang sebelum ini mendakwa BN-PN memperoleh majoriti dua pertiga dengan kemenangan tidak rasmi di 19 kerusi DUN.
Asyraf Wajdi membuat pengumuman itu di Pusat Operasi BN, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN-PN mendahului di 19 kawasan iaitu Rembia, Taboh Naning, Sungai Udang, Tanjung Bidara, Lendu, Ayer Limau, Kuala Linggi, Duyong, Sungai Rambai, Rim, Asahan, Bukit Katil, Telok Mas, Gadek, Machap Jaya, Bemban, Kelebang, Paya Rumput dan Ayer Molek.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) dilaporkan mendahului di empat kerusi, iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana setakat jam 8.20 malam.










