MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mengakui kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas ketinggalan kira-kira 5,000 hingga 6,000 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, berkata keputusan itu antara lain diterjemahkan menerusi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memberi kesan kepada persaingan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata beliau menghormati keputusan pengundi Bukit Katil yang telah menentukan pilihan mereka pada PRN kali ini.
“Saya hormati keputusan rakyat kerana mereka ada keputusan mereka sendiri untuk buat pilihan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas prestasi PH Melaka secara keseluruhan, Adly berkata gabungan itu hanya memenangi empat daripada 24 kerusi DUN yang ditandingi, iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir.
Beliau berkata PH menerima keputusan berkenaan secara terbuka dan menghormati mandat yang diberikan rakyat Melaka.
“Pakatan Harapan juga menerima keputusan ini sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab untuk memperkukuhkan lagi usaha dan gerak kerja kami,” katanya.
Adly berkata keputusan PRN Melaka itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diteliti secara menyeluruh, termasuk mengambil kira keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, PH belum membuat sebarang keputusan mengenai langkah seterusnya susulan keputusan PRN Melaka dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Mengulas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, beliau berkata PH akan berusaha memperbaiki prestasi parti dalam tempoh kira-kira setahun sebelum pilihan raya berkenaan.
Beliau turut memaklumkan analisis khusus mengenai kecenderungan pengundi muda dan faktor yang mempengaruhi keputusan PRN Melaka belum dilakukan.
Dalam pada itu, Adly merakamkan penghargaan kepada rakyat Melaka yang menunaikan tanggungjawab demokrasi serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, anggota keselamatan, pengamal media dan ejen pengundian serta pengiraan undi yang bertugas sepanjang proses pilihan raya.










