RCI Tabung Haji: ‘Jangan Sesekali Berjalan Keluar Daripada Amanah Rakyat’ – Fadhlina

​KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang bertindak ‘walkout’ atau keluar daripada sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat disifatkan sebagai satu tindakan yang amat mengecewakan.

​Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa isu membabitkan institusi pengurusan dana umat Islam itu bukan sekadar polemik politik kepartian, sebaliknya memegang amanah, keringat dan pengorbanan jutaan rakyat Malaysia.

​Menurut beliau, majoriti pendeposit institusi kewangan berkenaan bukannya terdiri daripada golongan yang berwang, sebaliknya hadir daripada rakyat marhaen yang mengumpul wang sedikit demi sedikit demi menunaikan Rukun Islam kelima.

​”Ada orang menyimpan di Tabung Haji bukan kerana mereka punya banyak wang. Mereka menyimpan kerana punya satu impian untuk menunaikan ibadah Haji.

​”Sebab itu Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan. Di dalamnya ada keringat dan pengorbanan jutaan rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

​Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, Dewan Rakyat merupakan medan terbaik untuk membongkarkan jawapan sebenar berhubung pelbagai persoalan yang timbul mengenai institusi itu sejak bertahun-tahun lalu.

​Malah tegasnya, perbahasan secara terbuka menerusi laporan RCI tersebut membolehkan semua pihak menuntut akauntabiliti sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau salah guna kuasa.

​”Bertahun-tahun persoalan tentang Tabung Haji dibangkitkan. Apa sebenarnya berlaku? Siapa yang harus bertanggungjawab?

​”Hari ini, laporan RCI Tabung Haji dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan secara terbuka. Kalau ada yang salah, bongkarkan. Kalau kerajaan perlu menjawab, tuntut jawapan,” katanya.

​Mengulas lanjut, beliau menyuarakan rasa sedih berhubung sikap Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang memilih untuk melangkah keluar sewaktu ruang mencari kebenaran disediakan.

​”Sedih. Kerana yang sedang kita bahaskan bukan soal kerajaan atau pembangkang. Kita sedang membahaskan amanah jutaan orang Islam yang menyimpan sedikit demi sedikit untuk sampai ke tanah suci.

​”Kita boleh berbeza politik. Tetapi jangan sesekali berjalan keluar daripada amanah rakyat,” ujarnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles