KUALA LUMPUR: Bidang kuasa pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dicadangkan supaya tidak lagi tertumpu kepada satu portfolio menteri, sebaliknya dibahagikan kepada dua kementerian bagi memperkukuh sistem kawal selia dan tadbir urus institusi berkenaan.
Cadangan itu dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam Laporan RCI TH yang didedahkan hari ini, dengan menyarankan urusan berkaitan ibadah haji dikendalikan Menteri Hal Ehwal Agama, manakala aspek kewangan, pelaburan dan pengurusan dana diletakkan di bawah tanggungjawab Menteri Kewangan.
Menurut RCI, langkah itu penting kerana Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) ketika ini memberikan kuasa yang luas kepada menteri bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia operasi TH.
Suruhanjaya itu berpandangan pembahagian portfolio berkenaan memerlukan pindaan terhadap Akta 535 supaya peranan kedua-dua menteri dapat diperincikan dengan lebih jelas.
Antara perkara yang berkait rapat dengan Kementerian Kewangan termasuk kelulusan pinjaman, jaminan kerajaan, penetapan rizab serta pengagihan keuntungan kepada pendeposit.
RCI turut menegaskan pengurusan pelaburan TH wajar diletakkan di bawah Menteri Kewangan kerana keputusan berkaitan dana dan aset institusi itu mempunyai kaitan rapat dengan kestabilan sistem kewangan negara.
Menurut laporan itu, kepakaran dan fungsi Kementerian Kewangan dilihat lebih selari dalam mengurus perkara berkaitan pelaburan berikutan kesannya terhadap kedudukan kewangan negara.
RCI percaya pengasingan tanggungjawab antara urusan agama dan kewangan mampu mewujudkan struktur pengurusan TH yang lebih berkesan, telus serta mempunyai mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh.










