Razlan Menang KUB Seputeh

KUALA LUMPUR: Pertembungan satu lawan satu bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Seputeh menyaksikan Datuk Mohd Razlan Rafii berjaya memenangi jawatan itu dalam pemilihan UMNO sesi 2023-2026, hari ini.

Mohd Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menewaskan penyandang Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff.

Difahamkan, Mohd Razlan berjaya menang dengan majoriti besar apabila meraih 206 undi perwakilan, berbanding Mustapa Kamal yang hanya menerima 52 undi lapor portal Berita Harian

Mohd Razlan turut menawarkan diri untuk merebut jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dan kini berada di kedudukan ke-12 daripada 95 calon selepas menerima 24 undi setakat ini.

Hanya 25 calon yang mendapat undi tertinggi akan memenangi jawatan MKT.

Sementara itu, Datuk Rizalman Mokhtar dan Datuk Adnan Seman masing-masing berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak.

Di Tuaran, Penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian itu , Datuk Abdul Rahman Dahlan, mengekalkan kedudukannya .

Abdul Rahman yang berdepan tentangan daripada bekas Ketua Pemuda UMNO Tuaran, Alfian Sambas, menang dengan kelebihan 16 undi.

Beliau memperoleh 423 undi, berbanding Alfian yang mendapat 407 undi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Noorbaki Lamsari, menang jawatan itu apabila memperoleh 668 undi, berbanding lawannya, Abdul Rahim Kahar, yang mendapat 165 undi.

Tiga yang lain menang jawatan Naib Ketua Bahagian terdiri Ernie @ Ealenna Jupilip memperoleh 334 undi; Madayim Minudin (278 undi); dan Nurul Husny Ali Akbar (209 undi).

Jawatan naib ketua bahagian itu menjadi rebutan empat calon iaitu Norjaip Daip, Ernie @ Ealenna Jupilip, Madayim Minudin dan Nurul Husny Ali Akbar.

Proses pengiraan undi untuk ahli jawatan kuasa bahagian masih berjalan.

Begitu juga dengan proses pengiraan undi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih berlangsung.

BBerkaitan

Latest articles