KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara yang menamatkan perkhidmatannya hari ini, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berharap kerajaan menilai semula struktur gred jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan hierarki kepimpinan pasukan itu lebih jelas dan berkesan.
Menurut beliau, semakan itu perlu dilakukan susulan perubahan gred jawatan Ketua Polis Negara (KPN) kepada Turus 2, yang sewajarnya diikuti dengan penyelarasan gred bagi jawatan lain dalam organisasi berkenaan.
Beliau mencadangkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dinaikkan kepada Gred Turus 3, manakala semua Pengarah Jabatan dalam PDRM dikekalkan pada Gred JUSA A dan Ketua Polis Negeri pula diberikan Gred JUSA B.
Ayob Khan berkata, cadangan itu bukan dibuat kerana beliau menamatkan tugas hari ini, sebaliknya telah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini, termasuk ketika menghadiri majlis anjuran Kerajaan MADANI di Kuantan.
“Sebaik sahaja jawatan Ketua Polis Negara dinaik taraf kepada Gred Turus 2, struktur jawatan di bawahnya juga perlu diselaraskan bagi memastikan sistem kepimpinan lebih tersusun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.
Beliau menjelaskan, ketika ini jawatan Timbalan Ketua Polis Negara berada pada Gred JUSA A, iaitu gred yang sama disandang Pengarah Cawangan Khas serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Keadaan itu, katanya, sedikit sebanyak menimbulkan cabaran dalam aspek penyelarasan arahan dan pengagihan tugas kerana melibatkan pegawai yang mempunyai gred setara.
Mengulas lanjut, Ayob Khan menegaskan cadangan tersebut bukan bertujuan memberi manfaat kepada dirinya kerana beliau telah menamatkan perkhidmatan, sebaliknya demi memastikan kepimpinan tertinggi PDRM pada masa hadapan lebih tersusun.
Beliau turut menegaskan beban tugas warga PDRM terus meningkat seiring pertambahan penduduk dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Atas sebab itu, saya berharap kerajaan dapat meneliti semula serta memperbetulkan struktur gred jawatan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan pengarah-pengarah jabatan dalam PDRM,” katanya.










