Malaysia Kembali Dalam Kalendar F1, SIC Jadi Tuan Rumah GP Bahrain Oktober Ini

KUALA LUMPUR: Malaysia kembali mewarnai pentas Formula Satu (F1) apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) diumumkan sebagai tuan rumah perlumbaan gantian Grand Prix (GP) Bahrain yang akan berlangsung pada 4 Oktober depan.

Pengumuman itu dibuat Formula Satu (F1) dalam satu kenyataan sempena berlangsungnya Grand Prix Hungary, sekali gus mengesahkan perlumbaan berkenaan akan menggunakan nama rasmi ‘Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia’.

Keputusan itu dibuat selepas GP Bahrain yang dijadualkan berlangsung pada April lalu dibatalkan, bersama Grand Prix Arab Saudi di Jeddah, susulan konflik melibatkan Iran serta ketidaktentuan keselamatan di rantau Asia Barat.

Kembalinya perlumbaan F1 ke Sepang dilihat sebagai perkembangan signifikan buat sukan permotoran negara selepas litar ikonik itu kali terakhir menganjurkan Grand Prix Malaysia pada 2017.

Berdasarkan kalendar terkini F1, perlumbaan di Sepang akan diadakan di antara GP Azerbaijan pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober, menjadikan Malaysia sebagai destinasi tambahan dalam siri perlumbaan musim ini.

Penganjuran perlumbaan itu dijangka menghidupkan semula kemeriahan F1 di Malaysia, selain memberi impak positif kepada sektor pelancongan, ekonomi dan industri sukan permotoran negara.

BBerkaitan

Latest articles