KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun ini.
Anwar berkata, penghormatan itu bukan sahaja membuktikan keyakinan Bahrain terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan acara bertaraf dunia, malah mencerminkan hubungan erat serta kerjasama kukuh yang terjalin antara kedua-dua negara.
Beliau memaklumkan perkara itu selepas mengadakan perbualan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota, Kerajaan Bahrain dan rakyat negara itu atas kepercayaan serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia.
“Kami berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, kerjasama itu melangkaui penganjuran sebuah perlumbaan sukan bertaraf antarabangsa, sebaliknya menjadi simbol persahabatan yang utuh, kepercayaan bersama dan hubungan strategik antara Malaysia dengan Bahrain.
Beliau berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu turut mengesahkan kesiapsiagaan Malaysia untuk sekali lagi menjadi hos kepada acara sukan antarabangsa berskala besar.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1 ke Sepang dengan menawarkan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi dan layanan mesra yang menjadi identiti negara.
Katanya, negara juga tidak sabar menyambut kehadiran FIA, pasukan-pasukan Formula 1 serta peminat sukan permotoran dari seluruh dunia ke Sepang.
“Malaysia bersedia mengalu-alukan Formula 1 kembali ke Sepang dan berharap penganjuran istimewa ini akan terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain, di samping mempamerkan kemampuan negara sebagai penganjur acara bertaraf dunia,” katanya.










