‘Jangan Jual Maruah Kerana Wang’ – Pesanan Terakhir Ayob Khan Buat Warga PDRM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menutup tirai perkhidmatan selama 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menitipkan pesanan penuh makna kepada seluruh warga pasukan itu agar tidak sesekali menggadaikan maruah dan integriti demi kepentingan peribadi.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, beliau mengingatkan setiap pegawai dan anggota supaya terus menjunjung amanah serta menggunakan kuasa yang diberikan dengan penuh tanggungjawab demi menegakkan keadilan.

Menurutnya, integriti merupakan asas kekuatan institusi kepolisan dan tidak wajar dikompromi hanya kerana habuan wang atau kepentingan diri.

“Jangan rosakkan pasukan ini hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang.

“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap amanah dan kuasa yang dipikul bukan sahaja akan dipersoalkan di dunia, malah akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Ayob Khan secara rasmi menyerahkan tugas kepada Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus, yang memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengimbau antara detik paling mencabar sepanjang kerjayanya apabila Bahagian Counter Terrorism dibubarkan pada 2014.

Beliau mengakui keputusan tersebut amat mengecewakannya memandangkan unit berkenaan telah mencatat pelbagai kejayaan dalam membanteras ancaman keganasan di negara ini.

Menurut Ayob Khan, beliau ketika itu tidak berselindung menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan membubarkan bahagian berkenaan kerana percaya kepakaran dan pengalaman pasukan itu amat penting dalam menangani ancaman keselamatan.

Ayob Khan memulakan kerjaya dalam PDRM lebih tiga dekad lalu sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Negara.

BBerkaitan

Latest articles