Rafizi Perlu Jelaskan Perubahan Pendirian Nengenai GST – AMK

KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli digesa menjelaskan rasional cadangan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar lima peratus dalam Belanjawan Bayangan Kancil 2027, susulan pendirian berbeza yang pernah disuarakan pemimpin itu sebelum ini.

Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, Rafizi sebelum ini menentang pelaksanaan GST selagi pendapatan pekerja dan isi rumah belum meningkat.

Beliau berkata, pada Januari 2014, bekas Timbalan Presiden PKR itu pernah menyatakan cukai berkenaan tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan sedemikian.

Namun, cadangan GST pada kadar lima peratus kini dimasukkan dalam belanjawan bayangan parti yang diasaskan Rafizi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai asas perubahan pendekatan itu.

Menurut Mohd. Shafiq, perubahan dasar bukan sesuatu yang salah, namun ia perlu disertai penjelasan munasabah, termasuk faktor ekonomi semasa, mekanisme perlindungan rakyat dan langkah mengawal kesan terhadap kuasa beli isi rumah.

Katanya, perbahasan mengenai GST perlu dinilai secara menyeluruh kerana cukai penggunaan mempunyai implikasi terhadap harga barang, struktur percukaian dan bentuk bantuan yang disalurkan kepada rakyat.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu membuktikan keberkesanan dasar melalui hasil pelaksanaannya, manakala pembangkang pula perlu memastikan setiap cadangan alternatif mempunyai pengiraan kukuh, sumber pembiayaan jelas dan mekanisme pelaksanaan yang praktikal.

Sehubungan itu, Parti Bersama diminta memperincikan pengiraan manfaat bersih kepada isi rumah, andaian kesan GST, mekanisme pelarasan elaun bahan api serta asas pencapaian sasaran defisit yang dicadangkan.

“Rakyat berhak meneliti angka dan andaian tersebut sebelum membuat kesimpulan tentang siapa yang menawarkan dasar ekonomi lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Shafiq berkata, keberkesanan sesebuah belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka yang kelihatan menarik semata-mata, sebaliknya melalui keupayaannya mengurus kewangan negara secara bertanggungjawab, melindungi kuasa beli dan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Beliau menegaskan, setiap unjuran perlu disokong pengiraan telus, setiap janji mesti disertakan sumber pembiayaan dan setiap dasar perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles