KUALA LUMPUR: Satu rakaman kamera papan pemuka yang dipercayai memaparkan sebahagian daripada insiden serangan ganas di Seksyen 28, Shah Alam, semalam mula tersebar.
Kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki maut, manakala seorang lagi dilaporkan cedera parah.
Rakaman daripada sebuah kenderaan yang melalui lokasi kejadian menunjukkan dua mangsa berada di atas jalan ketika beberapa lelaki dan kenderaan menghampiri kawasan berkenaan.
Walaupun mutu rakaman kurang jelas kerana dirakam dari jarak jauh, seorang daripada mangsa kelihatan sedang duduk di atas jalan dan dipercayai mengalami pendarahan.
Sebuah Perodua Alza berwarna biru kemudian dilihat menaiki pembahagi jalan dan berhenti berhampiran mangsa terbabit, sebelum bergerak lebih dekat ke arah mangsa kedua.
Dua lelaki dilihat menghampiri mangsa kedua, disusuli sekurang-kurangnya dua lagi individu yang keluar daripada kenderaan berkenaan. Rakaman itu berakhir tidak lama kemudian.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki susulan pergaduhan berkumpulan di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, yang menyebabkan seorang lelaki maut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang. Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan beberapa lelaki terbabit dalam satu konfrontasi yang turut melibatkan serangan menggunakan senjata tajam.
Sebuah kereta kemudiannya dipercayai merempuh seorang daripada suspek sehingga menyebabkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis seterusnya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Shamsiah Noor Zakaria, menerusi talian 012-830 8706 atau mana-mana balai polis berhampiran.










