KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli digesa bertaubat dan bermuhasabah diri sebelum menuding jari kepada orang lain, sebaliknya menjawab persoalan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan isu tadbir urus membabitkan Yayasan Hijau Malaysia.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, berkata isu membabitkan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada dakwaan kesalahan khalwat.
Beliau mendakwa, persoalan lebih besar timbul berhubung pengurusan yayasan berkenaan yang merupakan subsidiari di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRE).
Menurutnya, wanita yang dikaitkan dalam isu itu merupakan pegawai kanan yayasan berkenaan yang didakwa dilantik sendiri oleh Nik Nazmi ketika beliau masih memegang jawatan menteri.
“Dana kutipan hasil daripada syarikat sendiri yang beliau (Nik Nazmi) lobi diberikan kepada yayasan berkenaan. Bukankah ini salah guna kuasa, salah tadbir urus, kecuaian melampau dan tidak bermoral?” katanya pada sidang media sempena Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga Kementerian Sumber Manusia, hari ini.
Ramanan turut mempersoalkan status kediaman yang didakwa menjadi lokasi kejadian khalwat, termasuk sama ada rumah berkenaan dibeli atau disewa menggunakan wang yayasan terbabit.
Beliau juga mahu penjelasan sama ada Yayasan Hijau Malaysia sudah menjalani proses audit bagi memastikan ketelusan pengurusan kewangannya.
Dalam pada itu, Ramanan menyelar tindakan Rafizi yang didakwanya gemar mengemukakan pelbagai persoalan dan cuba menampilkan diri sebagai penyiasat, namun tidak berani mengemukakan bukti apabila berdepan tindakan saman.
Katanya, tindakan berpolitik dengan mengaitkan nama media antarabangsa tanpa mengemukakan bukti yang diperlukan bukan pendekatan yang berprinsip.
“Ini bukan cara untuk berpolitik. Jika mahu berpolitik, kita berpolitik secara berprinsip dan berdisiplin.
“Nasihat saya, jagalah diri sendiri dan lihat sekeliling dahulu. Jangan gunakan orang lain dan menabur fitnah.
“Cukuplah menyeksa orang lain dan saya harap Rafizi bertaubat. Jadilah orang yang bermoral, jangan tiada integriti, tiada tatakelola, tiada akhlak dan tiada prinsip hidup. Jadilah orang yang baik,” katanya.
Ramanan menegaskan, persoalan berkaitan pengurusan dan tadbir urus Yayasan Hijau Malaysia wajar diberikan penjelasan bagi memastikan isu berkenaan tidak sekadar tertumpu kepada kontroversi peribadi, sebaliknya turut mengambil kira kepentingan akauntabiliti institusi.










