Rafizi: Cabaran Bersama Bukan Penerimaan Pengundi, Tetapi Keyakinan Untuk Menang

SHAH ALAM: Parti Bersama berdepan cabaran untuk meyakinkan pengundi bahawa parti baharu itu bukan sekadar mampu menarik sokongan, malah mempunyai peluang realistik untuk memenangi pilihan raya.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata berdasarkan pertemuan dengan pengundi, terdapat mereka yang menerima idea dan tawaran dibawa parti berkenaan, namun masih teragak-agak untuk memberikan undi kerana menganggap Bersama belum cukup kukuh berbanding parti politik yang sudah lama bertapak.

Menurutnya, situasi itu menjadi antara halangan utama yang perlu diatasi Bersama sekiranya mahu mengubah sokongan kepada undi sebenar pada pilihan raya akan datang.

“Ini bukan soal sama ada mereka menerima kita atau tidak, tetapi sama ada mereka mempunyai keyakinan penuh bahawa kita boleh membawa perbezaan,” katanya ketika menghadiri satu acara Bersama di Shah Alam.

Rafizi berkata, antara persepsi yang sering didengarinya daripada pengundi ialah mereka menyukai pendekatan Bersama, tetapi beranggapan parti itu masih terlalu baharu untuk menewaskan parti-parti besar.

Katanya, dilema sama turut dihadapi pengundi yang sudah tidak berpuas hati dengan Pakatan Harapan (PH), namun masih memilih untuk kekal mengundi blok berkenaan kerana bimbang undi kepada parti baharu tidak mampu menghasilkan perubahan.

Beliau berkata, sesetengah pengundi bukan Melayu yang ditemuinya mengakui mahu beralih daripada PH, DAP atau PKR, tetapi akhirnya terpaksa memberikan undi kepada PH kerana melihat Bersama belum mempunyai kekuatan mencukupi untuk mengatasi UMNO.

“Kalau saya tak undi PH, DAP semua, awak baru, awak tak boleh kalahkan Umno, jadi saya tak dapat pecah undi, saya kena bagi kepada PH,” katanya, menggambarkan kebimbangan yang masih wujud dalam kalangan pengundi.

Rafizi mengakui perubahan terhadap persepsi berkenaan tidak boleh berlaku dalam tempoh singkat dan Bersama memerlukan masa untuk membina keyakinan pengundi terhadap keupayaan parti itu bertanding serta memenangi pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, rakan pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, melihat Selangor sebagai antara kawasan yang berpotensi menjadi medan penting buat parti berkenaan.

Beliau berkata profil pengundi di Selangor, khususnya mereka yang berpendidikan tinggi dan menetap di kawasan bandar, menyediakan ruang untuk Bersama membina tapak sokongan.

Menurutnya, ciri demografi berkenaan boleh menjadi kelebihan kepada parti baharu itu dalam usaha memperkenalkan agenda serta meyakinkan pengundi untuk memberikan peluang kepada Bersama.

BBerkaitan

Latest articles