Kesilapan Ketara Tak Sepatutnya Berlaku – Dusuki

KUALA LUMPUR: Kecacatan ketara pada dokumen rasmi kehakiman berkaitan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku sekiranya penelitian rapi dilakukan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata kelemahan pada dokumen Order of Discharge Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu menimbulkan masalah yang sepatutnya dapat dielakkan.

“Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti. Kesilapan ini adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Kecacatan dokumen berkenaan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pengamal undang-undang, khususnya berkaitan ketepatan penggunaan istilah dan peruntukan undang-undang.

Dokumen itu dikeluarkan selepas denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib dilunaskan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Tindakan itu mendapat teguran Istana Negara yang menegaskan perintah berkenaan jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan.

Istana Negara turut menyatakan semua syarat dalam perintah pengampunan itu sudah dipenuhi, justeru pelaksanaannya tidak sepatutnya terus menimbulkan kekeliruan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan menghadap Sultan Ibrahim bagi menjelaskan isu berkenaan, Mohd Dusuki enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, sesi menghadap itu dijangka berlangsung Selasa ini.

Pada 18 September lalu, Najib, 73, menerima pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Beliau sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada 23 Ogos 2022, sebelum Najib memulakan hukuman di Penjara Kajang.

Pada Februari 2024, hukuman penjara beliau dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda diturunkan kepada RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan.

BBerkaitan

Latest articles