Pusat Data Tawar 4,053 Pekerjaan, 3,523 Berkemahiran Tinggi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,053 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi 27 projek pusat data yang diluluskan di bawah pasukan petugas Data Centre Task Force (DCTF), termasuk 3,523 jawatan berkemahiran tinggi.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, peluang pekerjaan itu merangkumi bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.

Menurutnya, sehingga Oktober 2026, sebanyak 117 projek pusat data telah direkodkan di Malaysia, manakala pelaburan yang diluluskan bagi segmen pusat data dan pengkomputeran awan berjumlah RM95.8 bilion bagi separuh pertama tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak 27 projek di bawah DCTF pula mencatatkan anggaran nilai pelaburan RM225.97 bilion sehingga Oktober lalu.

“Selain peluang pekerjaan secara langsung, pembangunan pusat data turut mewujudkan peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan sokongan.

“Walaupun jumlah pekerja langsung dalam industri pusat data lebih rendah berbanding sektor pembuatan, industri ini menawarkan pekerjaan lebih khusus, berkemahiran tinggi dan bernilai tambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di Dewan Rakyat pada Rabu.

Wee ingin mengetahui mekanisme kerajaan bagi memastikan pertumbuhan pusat data di Zon Utara seperti Sedenak dan Iskandar Puteri turut memberi limpahan ekonomi kepada kawasan bersebelahan termasuk Pontian dan Tanjung Piai.

Menjawab perkara itu, Wilson berkata, kerajaan menetapkan sasaran minimum 30 peratus kandungan tempatan bagi projek pusat data baharu yang diluluskan di bawah DCTF.

Katanya, syarat itu meliputi penggunaan perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, rangkaian dan penyelesaian teknologi tempatan.

“Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) turut memantau pematuhan syarat berkenaan melalui laporan pelaksanaan yang dikemukakan syarikat setiap enam bulan.

“Pada masa sama, pengendali pusat data digalakkan melaksanakan program pembangunan pembekal tempatan bagi mengukuhkan keupayaan industri domestik serta menggalakkan pemindahan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi kerjasama strategik dengan pengendali pusat data, pemain industri dan institusi latihan.

Usaha itu bertujuan memperluas peluang latihan industri, pembangunan kemahiran dan pensijilan profesional mengikut keperluan sebenar industri.

Dalam perkembangan berkaitan, Wilson berkata, jawatan peringkat permulaan dalam industri pusat data menawarkan gaji antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, manakala jawatan kanan memperoleh antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia bertajuk My Bad Byte to Box: The Economics of Data Center in Malaysia bagi suku ketiga 2025.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali mengenai kesan pembangunan pusat data terhadap infrastruktur dan alam sekitar, Wilson berkata, kerajaan mengambil kira kecukupan bekalan elektrik dan air sebelum sesuatu projek diluluskan.

Katanya, penilaian dibuat menerusi penyelarasan DCTF bersama penyedia utiliti serta agensi teknikal berkaitan.

“Bagi bekalan elektrik, penilaian mengambil kira kapasiti sistem, keupayaan dan sumbangan kepada kesiapsiagaan infrastruktur di lokasi projek.

“Kecekapan penggunaan tenaga turut dinilai melalui indikator Power Usage Effectiveness (PUE), selain menggalakkan penggunaan tenaga baharu dan teknologi yang lebih cekap tenaga,” katanya.

Halimah sebelum itu membangkitkan kebimbangan mengenai kesan kumulatif pembangunan pusat data terhadap risiko banjir, penggunaan air bersih, persaingan bekalan elektrik serta tekanan terhadap jalan raya, sistem saliran dan kemudahan awam di Kapar.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai jaminan penduduk setempat tidak perlu menanggung kos sosial dan alam sekitar akibat pembangunan berkenaan.

Bagaimanapun, jawapan Wilson lebih tertumpu kepada mekanisme penilaian kecukupan bekalan elektrik dan air serta kecekapan penggunaan tenaga sebelum kelulusan projek diberikan.

BBerkaitan

Latest articles