PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan menerusi kenyataan terbuka berhubung kemelut politik di Negeri Sembilan, sebaliknya mahu semua proses berkaitan kedudukan Menteri Besar diselesaikan mengikut saluran ditetapkan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata semua pihak perlu memberi ruang kepada proses yang sedang berlangsung supaya ia dapat diselesaikan dengan baik tanpa menimbulkan kekeliruan atau memburukkan lagi keadaan.
Beliau berkata, BN memilih untuk tidak mengulas lanjut perkembangan itu bagi mengelakkan sebarang kenyataan disalah tafsir, terutama ketika proses berkaitan masih berjalan.
“Yang itu nanti akan diselesaikan. Biar kita serahkan melalui proses yang telah pun dilakukan. Saya rasa kita tidak perlu lagi merumitkan keadaan. Proses berjalan, biarlah ia berjalan dengan sebaik-baiknya.
“Jadi, saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti disalah tanggap lagi. Apa yang berlaku, prosesnya berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Festival Idea Putrajaya 2026, hari ini.
Zambry diminta mengulas perkembangan kemelut politik Negeri Sembilan, khususnya berhubung kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim yang dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatan.
Kelmarin, Zambry mengesahkan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh mengemukakan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar.
Perkembangan itu kemudian diperjelaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam yang menegaskan keputusan berkenaan dibuat atas kerelaan Ismail sendiri dan bukannya atas arahan parti.
Zahid turut mengesahkan hanya satu nama calon dikemukakan kepada pihak istana bagi mengisi jawatan berkenaan.
Peletakan jawatan Ismail berlaku beberapa hari selepas beliau mengesahkan menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berhubung isu penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menegaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali, turut memaklumkan pihak istana masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail yang diterima pada jam 12.16 tengah malam, 17 November lalu.
Kemelut itu turut mencetuskan persoalan apabila anak Ismail menerusi satu hantaran di media sosial mempersoalkan tindakan terhadap bapanya, selain membayangkan beliau seolah-olah dijadikan ‘kambing hitam’ dalam krisis perlembagaan negeri berkenaan.










