PUNB umum lanjut bantuan kepada usahawan

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) melanjutkan penangguhan pembayaran balik pembiayaan ke atas prinsipal dan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus sewa premis perniagaan PUNB selama enam bulan lagi.

Lanjutan berkenaan bermula 1 Julai hingga hingga 31 Disember 2021.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata Lembaga Pengarah PUNB sebulat suara membuat keputusan berkenaan bagi memastikan kelangsungan perniagaan Rakan Usahawan PUNB susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, penangguhan pembayaran pembiayaan itu sama seperti syarat terdahulu iaitu hanya terpakai ke atas prinsipal dengan kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan.

“Semua Rakan Usahawan PUNB yang mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Julai hingga Disember 2021 ini, dijangka memberi manfaat kepada 2,330 Rakan Usahawan PUNB dan 718 syarikat yang menerima pembiayaan di bawah Skim ‘Bumiputera Relief Financing’.

“Inisiatif yang bermula sejak 1 Januari lalu membabitkan kekurangan kutipan sebanyak RM92.75 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di bangunan Kumpulan Muara, di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Noh berkata, sebanyak 230 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Julai ini, membabitkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.89 juta.

“Saya berharap inisiatif ini dapat membantu Rakan Usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan PUNB mengekalkan daya tahan perniagaan terutama sepanjang sekatan pergerakan penuh yang bermula 1 Jun lalu.

“Ini kerana, ada Rakan Usahawan PUNB yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang dalam tempoh berkenaan dan kebanyakan usahawan masih dalam proses untuk pulih serta kembali berdaya saing,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini