Puad Dedah Dakwaan Rundingan Rahsia UMNO-PAS, Ada Pemimpin Terlalu Yakin Menang Besar Di Johor

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa wujud perbincangan sulit antara beberapa pemimpin UMNO dan PAS bagi merintis kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan Johor serta Negeri Sembilan dikatakan menjadi antara negeri yang terlibat.

Beliau mendakwa, hasil perbincangan awal itu menyaksikan PAS bersetuju untuk tidak bertanding pada PRN Johor, sekali gus membolehkan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Puad, keyakinan terhadap hasil rundingan itu begitu tinggi sehingga ada pemimpin UMNO, termasuk Setiausaha Politik Presiden UMNO, Datuk Megat, percaya BN mampu mencatat kemenangan besar di Johor.

Katanya, perkara berhubung rundingan tersebut turut dibangkitkan dalam mesyuarat MKT UMNO pada 10 Jun lalu.

“Saya bersama beberapa ahli MKT lain menegaskan bahawa sebarang kerjasama dengan PAS hanya berbaloi jika matlamatnya untuk memastikan kemenangan dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berpandangan pendekatan berasaskan agenda penyatuan ummah tidak akan membawa kejayaan, sebaliknya mencadangkan UMNO memberi keutamaan kepada Musyawarah Nasional yang dipengerusikan Tan Sri Ghani Othman.

Puad turut mendakwa keyakinan melampau terhadap kerjasama itu menyebabkan segelintir pemimpin UMNO percaya parti tersebut mampu menguasai Johor walaupun tanpa penglibatan aktif Datuk Seri Najib Razak atau “Bossku” sepanjang kempen.

Menurutnya, terdapat pandangan bahawa kerjasama UMNO-PAS mempunyai impak politik yang lebih besar berbanding pengaruh bekas Perdana Menteri itu.

Namun, beliau berkata, jangkaan tersebut akhirnya meleset apabila kerjasama yang dirancang gagal menjadi kenyataan.

Katanya lagi, kegagalan itu menyebabkan strategi politik BN menjadi tidak tersusun, selain diburukkan dengan pemilihan calon yang disifatkannya tidak memenuhi kehendak pengundi muda kerana terlalu ramai calon lama dikekalkan dan sebahagiannya hanya berada pada tahap sederhana.

BBerkaitan

Latest articles