KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuka ruang kepada kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, dengan parti itu berpandangan mandat baharu daripada rakyat wajar diperoleh sebelum Parlimen memasuki penghujung penggal.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pilihan raya lebih awal adalah lebih baik bagi memberikan peluang kepada rakyat menentukan semula mandat untuk mentadbir kerajaan Persekutuan.
“Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.
“Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya,” katanya memetik temu bual eksklusifnya bersama Media Prima Berhad (MPB).
Penggal Parlimen ke-15 dijadual berakhir sekitar Disember tahun depan, manakala pilihan raya masih boleh diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, bergantung kepada keputusan kerajaan dan proses yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN tidak boleh hanya menunggu tarikh pilihan raya sebaliknya perlu memanfaatkan tempoh yang masih ada untuk memperkukuh kedudukan parti.
Menurut beliau, fokus perlu diberikan kepada usaha menyantuni rakyat serta memastikan UMNO dan BN terus relevan berdepan perubahan landskap politik dan geopolitik semasa.
Dalam perkembangan berkaitan hala tuju politik UMNO-BN, Ahmad Zahid tidak memberikan isyarat jelas sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) menjadi pilihan utama parti.
Sebaliknya, beliau menegaskan sebarang keputusan mengenai kerjasama politik akan dibuat berdasarkan pertimbangan manfaat dan mudarat kepada parti serta kedudukan politik di sesebuah negeri.
Katanya, pendekatan itu pernah digunakan dalam menentukan strategi UMNO-BN ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Di Johor kita sanggup untuk pergi solo kerana landskap politik di negeri itu mengkehendaki begitu. Tetapi di Negeri Sembilan, kita merasakan manfaat itu lebih baik kalau kita bersama dengan mana-mana parti gabungan.
“Kita lihat apakah mudaratnya kalau kita bersama atau tidak bersama dengan parti gabungan lain,” katanya.
Ahmad Zahid berkata setiap rundingan politik perlu dibuat dengan mengambil kira kedudukan semasa dan potensi pulangan politik yang boleh diperoleh.
Malah, beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai satu bentuk “kiraan politik” bagi menentukan sama ada sesuatu kerjasama mampu memberikan keuntungan kepada UMNO-BN atau sebaliknya.
Menyentuh pandangan akar umbi mengenai kerjasama rentas gabungan, Ahmad Zahid mengakui terdapat desakan supaya usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan orang Melayu diberikan keutamaan.
Katanya, aspirasi berkenaan akan diambil kira dalam menentukan hala tuju politik UMNO pada masa depan, termasuk kemungkinan membina bentuk kerjasama dengan parti lain.
“Justeru, kita menjadikan itu sebagai keutamaan untuk kita melakukan sesuatu (kerjasama rentas gabungan parti) bagi mewarnai masa depan politik kita,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk tidak boleh diketepikan dalam sebarang percaturan politik.
Menurutnya, kepelbagaian masyarakat perlu dijadikan landasan ketika UMNO mengharungi landskap politik yang semakin kompleks untuk dekad akan datang.










