KUALA LUMPUR: Proklamasi yang didakwa bertujuan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tunku Munawir, disifatkan tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak boleh dilaksanakan.
Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari, berkata keputusan berhubung perkara itu telah dimuktamadkan dalam sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada 31 Julai lalu.
Menurut beliau, pengisytiharan bertarikh 19 April 2026 berhubung perkara berkenaan tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Justeru, katanya, dokumen berkenaan tidak boleh dijadikan asas untuk mengubah kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau turut mempersoalkan kedudukan tiga daripada Undang Empat yang didakwa cuba mengambil tindakan terhadap Tuanku Muhriz.
“Tiga daripada Undang Empat yang cuba menurunkan DYMM Tuanku Muhriz langsung tiada kuasa sebagai Pembesar Memerintah bagi negeri lantaran telah lucut pesaka mengikut adat luak masing-masing.”
Muhammad Faris pada masa sama menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar ketika ini perlu mengambil kira sabda beliau selaku Imam Undang Yang Empat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan perkembangan terbaharu membabitkan pertikaian mengenai proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Pada 6 September lalu, Sekretariat Undang Yang Empat mengeluarkan kenyataan berhubung Sidang Khas Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Kenyataan berkenaan ditandatangani Undang Sungei Ujong yang diberhentikan, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Al-Qadri serta Dato’ Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abd Khalid.
Mereka antara lain mendesak pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, supaya mematuhi proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz yang didakwa telah ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Proklamasi itu dikatakan ditandatangani Ismail di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Ismail kemudiannya menyatakan pendirian berbeza apabila menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Menteri Besar itu berkata beliau mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Undang Yang Empat berhubung isu berkenaan, namun menegaskan keutamaan beliau ketika ini adalah melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan Negeri Sembilan.










