KPK Sasar Harga Getah RM5 Sekilogram Menjelang 2027, Perkukuh Pendapatan Pekebun Kecil

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan harga getah di peringkat ladang meningkat kepada RM5 sekilogram menjelang 2027 dalam usaha memperkukuh pendapatan serta kebajikan pekebun kecil di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelbagai pendekatan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan golongan itu, termasuk memperkukuh kandungan getah kering (KGK) serta memastikan pasaran getah domestik terus berkembang.

Beliau berkata, peningkatan kandungan KGK daripada 50 kepada 60 peratus berpotensi menaikkan harga jualan getah daripada RM4.20 kepada RM5.04 sekilogram, berdasarkan harga pasaran semasa.

Dalam usaha memastikan pendapatan pekebun kecil lebih terjamin, Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut melaksanakan pemantauan harga dan menerbitkan harga rujukan getah di peringkat ladang berdasarkan urus niaga di lokasi terpilih di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, RISDA berperanan sebagai pembeli utama dengan melaksanakan pembelian getah secara terus daripada pekebun kecil menerusi kutipan lazimnya setiap dua minggu.

Langkah itu turut membantu meningkatkan kandungan KGK melalui pengurangan kandungan air dalam getah yang dibeli.

Pada masa sama, kerajaan menyediakan bantuan BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan kepada penerima yang layak bagi membantu meningkatkan pulangan keseluruhan pekebun kecil.

Noraini berkata, komitmen kementerian turut tertumpu kepada peningkatan produktiviti, memperkukuh permintaan getah domestik serta memastikan kemampanan industri getah negara.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada 24 November 2026.

BBerkaitan

Latest articles