PRN Sarawak: Wawasan, Bersatu Pilih Tidak Bertanding

KUALA LUMPUR: Persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menyaksikan semakin banyak parti memilih untuk tidak meletakkan calon apabila Wawasan dan Bersatu mengesahkan pendirian masing-masing untuk tidak menyertai pilihan raya 12 Disember ini.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan partinya itu dibuat susulan pendirian PAS yang terlebih dahulu mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN berkenaan.

Menurutnya, Wawasan mengambil pendekatan sama dengan tidak meletakkan calon bagi memberi laluan kepada perkembangan politik semasa di negeri itu.

Beliau bagaimanapun berkata, Wawasan masih mempunyai pengaruh dan kekuatan di Sarawak, justeru mahu mengadakan rundingan dengan beberapa parti politik bagi menentukan bentuk sokongan yang boleh diberikan.

Katanya, beliau sudah meminta kepimpinan Wawasan Sarawak mengadakan perbincangan segera dengan pemimpin parti lain sebelum pilihan raya berlangsung.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu turut mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRN Sarawak ke-13 selepas menilai landskap politik semasa negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira kepentingan mengekalkan kestabilan politik, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta memastikan pembangunan ekonomi Sarawak terus mampan.

Menurut kenyataan parti itu, Bersatu Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan parti sebagai platform untuk berkhidmat kepada rakyat.

Bersatu ketika ini mempunyai seorang wakil rakyat di Sarawak, iaitu Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.

Sebelum ini, PAS menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 19 November lalu mengesahkan parti itu tidak akan meletakkan calon selepas mengambil kira situasi politik semasa dan beberapa pertimbangan lain.

PAS kali terakhir tidak menyertai PRN Sarawak pada 1996 sebelum kembali bertanding pada 2001, namun sehingga kini belum berjaya memenangi sebarang kerusi di negeri itu.

Selain Wawasan, Bersatu dan PAS, beberapa parti lain termasuk PKR, Amanah serta BN turut mengesahkan tidak menyertai PRN Sarawak kali ini.

BBerkaitan

Latest articles