KUALA LUMPUR: Penantian keluarga 54 rakyat Malaysia yang hilang dalam tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal bakal menemui titik penyelesaian apabila sijil anggapan kematian mangsa dijangka dikeluarkan seawal Disember ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia mempercepatkan proses pengeluaran sijil berkenaan sebaik menerima dokumen pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Nepal menerusi Kementerian Luar.
Beliau berkata, perkara itu telah mendapat kepastian daripada Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias yang memberi komitmen untuk menyelesaikan urusan berkenaan secepat mungkin selepas dokumentasi lengkap diterima.
“Kami menjangkakan proses itu dapat diselesaikan seawal Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan kepada keluarga mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Azman Aziz Mohammed; Pengasas Bersama Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam serta ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini berkata, urusan pengisytiharan anggapan kematian 54 rakyat Malaysia terbabit perlu mematuhi sepenuhnya prosedur perundangan dan mekanisme pentadbiran negara berkenaan.
Beliau menjelaskan, JPN hanya boleh mengeluarkan sijil kematian rasmi mengikut peruntukan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 selepas memperoleh pengesahan daripada pihak berkuasa di lokasi kejadian.
Proses pengeluaran sijil itu kini bergantung kepada penerimaan dokumen pengesahan rasmi dari Nepal sebelum urusan di peringkat JPN dapat dimuktamadkan.










