Juruterbang TUDM Main Peranan Angkut Dadah Dari Lembah Klang Ke Sabah

TUMPAT: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan didakwa memainkan peranan sebagai pengangkut bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu terbabit bukan sahaja bertindak sebagai penyelaras, malah turut menguruskan penghantaran bahan terlarang itu ke negeri berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dihantar ke Labuan dan Tawau, namun polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut menggunakan laluan lain bagi mengembangkan kegiatan mereka.

“Selain menjadi koordinator, dia juga mengangkut bekalan dadah itu dari Lembah Klang ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi PDRM di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, hari ini.

Menurut Hussein, seramai 13 individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan, membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.

Katanya, polis turut mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian itu dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Siasatan juga mendapati sindiket berkenaan mempunyai pembahagian tugas tersusun, termasuk ketua, penyelaras, pengangkut dan anggota lain yang masing-masing memainkan peranan dalam operasi penyeludupan dadah.

Mengulas kronologi pembongkaran kegiatan itu, Hussein berkata, maklumat awal diperoleh susulan kejayaan polis menahan sindiket di Sabah serta merampas enam kontena di Pelabuhan Klang pada Januari lalu.

Kontena berkenaan dipercayai mengandungi dadah yang dirancang untuk dihantar ke Teluk Sepanggar, Sabah.

Katanya, maklumat lebih kukuh diperoleh pada Julai sebelum polis membuka kertas siasatan, diikuti tindakan risikan dan pemantauan sehingga membawa kepada operasi terbaharu di Subang.

Minggu lalu, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan menerusi operasi di Lembah Klang dan Labuan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini memaklumkan penahanan 13 individu susulan penemuan dadah yang disembunyikan dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Bahan terlarang itu dikesan ketika pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM, sekali gus membawa kepada pembongkaran kegiatan yang disifatkan sebagai kes pertama seumpamanya berjaya dipatahkan menerusi prosedur pemeriksaan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles