PUTRAJAYA: Pendidikan berasaskan kecerdasan buatan (AI) perlu dilaksanakan seiring pembentukan akhlak, nilai kemanusiaan dan jati diri bagi memastikan generasi muda bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai keperibadian mulia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan AI penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi global, namun penggunaannya perlu berpandukan nilai agama dan moral.
Menurutnya, teknologi itu seharusnya menjadi alat untuk membantu manusia meningkatkan keupayaan ilmu dan bukannya mengambil alih peranan manusia dalam menentukan nilai kehidupan.
“AI ini kalau tidak dikuasai, kita akan ketinggalan. Nak pacu pertumbuhan supaya kita terus hebat dan gagah sebagai satu negara, kita kena kuasai disiplin ilmu baharu dan juga yang lama.
“Tetapi ingat, kita ini manusia. Kita ini ada agama, kita ada akhlak. Oleh yang demikian, AI bukan menguasai kita. Kita yang harus menguasai AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara: AI Temu AI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
Anwar berkata, usaha memperkenalkan AI dalam sistem pendidikan tidak boleh tertumpu kepada penguasaan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu membina ekosistem yang menghubungkan sekolah, guru, pelajar, ibu bapa dan penyedia teknologi.
Katanya, tanggungjawab membentuk sahsiah anak-anak juga tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah kerana ibu bapa mempunyai peranan penting dalam memastikan pendidikan dan disiplin diterapkan sejak kecil.
“Mana mungkin keluarga diserahkan 100 peratus mendidik anak ke sekolah? Ibu bapa mempunyai juga tanggungjawab.
“Saya akui soal disiplin, soal buli, soal moral juga menjadi tanggungjawab guru di sekolah, tetapi jangan diserahkan semua kepada sekolah. Ibu bapa juga harus ditegur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan murid supaya menghargai pengorbanan guru yang perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi baharu, termasuk memberikan pendedahan AI kepada pelajar.
Menurutnya, guru perlu diberikan penghargaan kerana mereka sendiri tidak mendapat pendedahan pendidikan AI ketika mula memasuki bidang perguruan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, pemberian bantuan persekolahan RM200 kepada setiap murid pada tahun hadapan akan disalurkan melalui sekolah dengan kehadiran ibu bapa.
Katanya, pendekatan itu bertujuan menggalakkan ibu bapa hadir ke sekolah, bertemu guru dan mengetahui perkembangan pembelajaran serta tingkah laku anak masing-masing.
Beliau turut menegaskan penggunaan AI tidak seharusnya menggantikan budaya membaca dan kaedah pembelajaran asas seperti membaca, menulis serta mengira.
Sebaliknya, katanya, pendedahan awal kepada teknologi berkenaan perlu dilaksanakan seiring kaedah pembelajaran konvensional supaya murid tidak kekok berhadapan perkembangan teknologi.
“Saya nak minta menteri, Ketua Pengarah (Pendidikan) pastikan peringatan kepada semua guru dan pengetua serta guru besar.
“Kalau cuti dua bulan atau satu bulan setengah, anak-anak mesti diberi judul buku yang wajib dibaca,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga perlu memastikan penguasaan teknologi baharu tidak menyebabkan generasi muda mengabaikan nilai kemanusiaan, budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Kita mahu generasi baharu ini mempunyai sikap yang tidak menghina orang kerana warna kulit, kepercayaan atau kebudayaan yang berbeza.
“AI pintar, tetapi lebih mulia peribadi dan akhlaknya,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) atas pengiktirafan AI Champion of the Year pada Bett Asia 2026 menerusi Pelantar DELIMa.
Prakarsa AI Pendidikan Negara yang diluncurkan merangkumi Pelantar DELIMa 3.0, Panduan Literasi AI KPM, Cikgu Ilmu serta sumber pembelajaran AI secara luar talian.










