PRN N.Sembilan: PN Muktamad Agihan Kerusi, Guna Lambang ‘Perikatan Nasional’

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini mengesahkan telah meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada Khamis.

Menurut beliau, rundingan pembahagian kerusi tersebut melibatkan kesemua parti anggota komponen gabungan itu iaitu Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP.

“Mesyuarat juga bersetuju membenarkan penggunaan lambang ‘Perikatan Nasional’ oleh calon-calon PN dalam PRN Negeri Sembilan, sepertimana yang telah dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Bersatu bertarikh 15 Julai semalam, Ahmad Samsuri menjelaskan segala proses perbincangan awal yang dilakukan adalah dalam pengetahuannya.

“Dimaklumkan bahawa segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan di dalam pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi PN.

“Ianya telah pun dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada mesyuarat hari ini,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, kehadiran calon-calon gabungan itu yang dijangka diumumkan hari ini adalah demi memastikan kebajikan rakyat di negeri itu terus terbela.

“Penyertaan sejumlah calon PN adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya, dan Malaysia amnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles