PRN Melaka: BN Buka Rundingan Selepas DUN Dibubar, Kata Ab Rauf

MELAKA: Barisan Nasional (BN) tidak akan tergesa-gesa memuktamadkan sebarang persefahaman politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya rundingan rasmi hanya akan dibuka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan pendirian itu selari dengan keputusan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, semua pihak tidak perlu membuat sebarang andaian atau mendesak supaya rundingan dimulakan lebih awal kerana proses berkenaan tetap akan berlangsung selepas pembubaran DUN.

“Kita akan buka pintu rundingan selepas bubar DUN. Jangan kelam-kabut, rundingan pasti akan berlaku tidak lama lagi.

“Tiada apa-apa rundingan rasmi sebelum DUN dibubarkan,” katanya.

Kenyataan itu memberi isyarat bahawa BN belum bersedia memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama atau pembahagian kerusi dengan mana-mana parti sebelum DUN Melaka dibubarkan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan mengesahkan bahawa perbincangan tidak formal sudah berlaku antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau berpandangan keputusan berkaitan pengagihan kerusi lebih wajar dibuat selepas DUN Melaka dibubarkan.

Perkembangan itu turut disahkan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, yang semalam berkata pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan rasmi mengenai bentuk kerjasama atau pembahagian kerusi antara PH dan BN untuk PRN Melaka.

Amirudin berkata, perbincangan dengan Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka setakat ini hanya dilakukan secara dalam talian dan belum memasuki fasa rundingan rasmi.

BBerkaitan

Latest articles