BATU PAHAT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperketat pemantauan kandungan di semua platform digital selama 24 jam sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga 11 Julai ini bagi mengekang penularan berita palsu, maklumat mengelirukan serta kandungan yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, operasi pemantauan itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), MCMC serta beberapa agensi berkaitan bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana aman dan terkawal.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi melalui MCMC memberi keutamaan untuk memastikan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, termasuk berita palsu dan bahan berunsur provokasi 3R, dapat dikenal pasti serta ditangani dengan segera.
“Saya telah diberikan taklimat oleh pasukan MCMC mengenai persediaan pemantauan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, hari ini.
Terdahulu, Fahmi yang juga Ketua Komunikasi Pakatan Harapan (PH) mengiringi calon PH bagi DUN Semerah, Khuzan Abu Bakar, menyerahkan borang pencalonannya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya turut memainkan peranan membendung penyebaran maklumat tidak sahih dengan segera melaporkan kandungan yang mencurigakan kepada platform media sosial terbabit.
Katanya, setiap platform mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan, selain orang ramai juga boleh mengemukakan aduan terus kepada MCMC menerusi portal aduan rasmi bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.










