JOHOR BAHRU: PAS Johor membuat pembaharuan besar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 apabila mempertaruhkan sembilan muka baharu daripada keseluruhan 11 calon yang diumumkan malam ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, barisan calon yang dipilih terdiri daripada individu dengan latar belakang serta pengalaman yang pelbagai bagi memenuhi keperluan pengundi di kawasan masing-masing.
Menurutnya, terdapat juga calon yang pernah bertanding sebelum ini namun diberi tanggungjawab untuk bertanding di kerusi berbeza pada pilihan raya kali ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Calon PAS Mewakili Perikatan Nasional bagi PRN Johor yang berlangsung di Laman Muafakat.
Turut hadir Ketua Penerangan PN yang juga Pengarah PRN Johor ke-16, Tan Sri Annuar Musa serta Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Barisan calon PAS kali ini terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 61 tahun.
Mengulas mengenai pengurangan jumlah kerusi yang ditandingi PAS berbanding 15 kerusi pada PRN lalu kepada hanya 11 kerusi kali ini, Samsuri menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekuatan parti serta potensi kemenangan di setiap kawasan.
Katanya, landskap politik semasa berbeza berbanding empat atau lima tahun lalu, justeru strategi pemilihan kerusi turut disesuaikan dengan keadaan semasa.
Beliau turut memaklumkan PAS akan menggunakan logo PN sepanjang kempen, selari dengan pendekatan yang turut digunakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan bahawa penggunaan logo yang sama oleh kedua-dua parti komponen PN boleh mengelirukan pengundi.
Berikut senarai calon PAS yang akan mewakili PN dalam PRN Johor:
* DUN Jementah – Saifullah Abdul Wahab
* DUN Tenang – Normala Sudirman
* DUN Simpang Jeram – Arshed Yahya @ Awang
* DUN Maharani – Mohamad Anuar Hayan
* DUN Sungai Balang – Muhammad Amin Sailan
* DUN Semerah – Halim Kepol
* DUN Seri Medan – Ahmad Rosdi Baharu
* DUN Endau – Hasnol Hakim Hussein
* DUN Pasir Raja – Yuhanita Yunan
* DUN Tiram – Khirul Mutanazar Ismail
* DUN Kahang – Mazlan Bujang
Pengumuman itu melengkapkan senarai calon PAS yang akan menggalas cabaran PN dalam usaha memperkukuh pengaruh gabungan berkenaan pada PRN Johor kali ini.










