KUALA LUMPUR: Prestasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam aspek pelaburan, ekonomi dan pengukuhan mata wang, mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan Anwar menerajui Kerajaan MADANI, sekali gus menjadi asas kukuh untuk rakyat mempertimbangkan mandat kepada kerajaan berkenaan bagi meneruskan pentadbiran untuk penggal kedua.
“Jika kita lihat prestasinya, tiada siapa boleh menafikan prestasi dan kemampuan Perdana Menteri. Kita dapat melihat dari segi pelaburan, ekonomi dan mata wang, semuanya mendapat pengiktirafan dan diakui pelbagai pihak,” katanya selepas merasmikan program STEM Exploration 2.0 ‘Unearthing Young Scientific Talent’ anjuran Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Azman berkata demikian ketika mengulas pandangan penganalisis politik yang menyifatkan Kerajaan MADANI menunjukkan prestasi kukuh dan wajar diberi ruang untuk meneruskan agenda reformasi serta kecemerlangan pada penggal akan datang.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memastikan pencapaian serta manfaat setiap inisiatif dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
Katanya, beberapa inisiatif dan pengumuman baharu dijangka dibuat Perdana Menteri menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, selain pembentangan Belanjawan 2027.
Azman turut yakin rakyat akan menilai prestasi dan pencapaian kerajaan secara bijaksana sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata program STEM Exploration 2.0 berperanan sebagai platform mengenal pasti bakat muda serta memupuk minat pelajar terhadap bidang sains dan perubatan.
Katanya, program itu turut memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang berkenaan.
Edisi kedua program itu membabitkan 200 pelajar Tingkatan Tiga dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, dan wajar diperluaskan ke seluruh negara.
“Saya berharap pendidikan STEM tidak lagi dilihat sekadar mata pelajaran pilihan, sebaliknya menjadi elemen penting bagi kelangsungan negara dalam menghadapi cabaran kemajuan teknologi global.
“Jadikan pengalaman ini sebagai batu loncatan dan sumber inspirasi untuk memasang impian yang besar. Negarawan dan saintis tidak lahir dalam sehari, sebaliknya bermula dengan langkah pertama iaitu menuntut ilmu, seperti yang kita lakukan hari ini,” katanya.
Program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk eksperimen, aktiviti mikrobiologi, pengenalan kepada sistem imun dan peredaran darah serta demonstrasi teknologi percetakan tiga dimensi (3D) dalam bidang perubatan. – Bernama










