Presiden UMNO Kena Undur, Segera Laksana Reformasi Parti

KUALA LUMPUR: Tiba giliran Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendesak pengunduran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk PRU15 semalam.

Sebelum ini timbul dakwaan hubungan kedua-dua pemimpin ini dingin selepas Khairy digugurkan di Parlimen Rembau dan dicalonkan di Sungai Buloh.

Malah keadaan juga panas apabila Khairy terang-terangan mengakui tidak gemarkan beberapa pemimpin di dalam UMNO, malah turut berhasrat ingin menjadi Perdana Menteri dan mahu melakukan perubahan di dalam parti itu.

Susulan kegagalan BN semalam, Khairy meminta Ahmad Zahid segera meletak jawatan agar reformasi parti UMNO dapat dilakukan.

“Apabila kalah dalam peperangan, Panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggungjawab. Lebih-lebih lagi bila strategi perang diatur oleh Panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur.

“Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, lewat petang tadi.

Terdahulu, beberapa jam sebelum itu Khairy juga menggesa pemimpin kanan BN dan UMNO agar senada bagi mendesak Ahmad Zahid berundur daripada tampuk kepimpinan gabungan itu.

“Onn (Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan Shahril (bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan) ‘have done the right thing’ (sudah lakukan tindakan tepat).

“‘Now senior leader must follow’ (kini pemimpin kanan pula perlu menyusulinya). Takkan tengok sahaja. Menang sorak di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, negara tergadai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles