Polis Siasatan Kematian Rocky

KLANG: Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing peliharaan dikenali sebagai Rocky yang mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh haiwan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan video kejadian berkenaan kerana ia berpotensi menimbulkan kegusaran dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Kes itu mendapat perhatian meluas selepas Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia mendakwa Rocky diseksa sebelum mati dalam satu kejadian di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Presidennya, Kalaivanan Ravichandran, mendakwa anjing berkenaan dipukul sekumpulan lelaki sebelum tali diikat pada lehernya dan haiwan itu diseret sehingga maut, meskipun pemiliknya berulang kali merayu agar ia dilepaskan.

Beliau turut mendakwa dua pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Rakaman video yang tular memperlihatkan seorang wanita dipercayai pemilik Rocky menangis dan merayu supaya tali jerut pada leher haiwan peliharaannya ditanggalkan serta anjing itu dipulangkan kepadanya.

Bagaimanapun, MBDK mempertahankan tindakan pegawainya dengan menjelaskan wanita terbabit didakwa bertindak agresif ketika cuba memotong tali jerut yang digunakan untuk menangkap anjing berkenaan, selain mengugut mencederakan dirinya sendiri jika Rocky tidak dilepaskan.

Menurut MBDK, keadaan yang tegang menyebabkan pegawainya tidak dapat melonggarkan tali atau melepaskan peralatan dengan selamat. Mereka kemudian melepaskan peralatan itu sebelum polis tiba bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk dan mengurangkan risiko kecederaan.

Insiden berkenaan turut mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menggesa siasatan menyeluruh, telus dan bebas dijalankan, manakala bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menuntut keadilan buat Rocky serta tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.

BBerkaitan

Latest articles