Polis Siasat Dakwaan Jho Low Pulang Ke Malaysia Untuk Mesyuarat Sulit

KUALA LUMPUR: Polis membuka siasatan berhubung dakwaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dikatakan kembali ke Malaysia bagi menghadiri beberapa siri mesyuarat sulit berkaitan isu kewangan dan diplomatik.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, setakat ini pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada individu terbabit benar-benar memasuki negara ini.

Menurut beliau, polis akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk meneliti segala maklumat yang tersebar berkaitan dakwaan itu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Autisme Pusat Autisme Pengaman-Polis di Kuala Lumpur, hari ini.

Dakwaan mengenai kepulangan Jho Low tercetus selepas sebuah portal antarabangsa melaporkan individu terbabit didakwa memfailkan permohonan pengampunan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Januari lalu dalam keadaan yang disifatkan luar biasa.

Laporan sama turut mendakwa Jho Low memainkan peranan penting dalam rundingan tertutup antara Malaysia dan China berkaitan usaha melupuskan hutang yang dikaitkan dengan skandal 1MDB pada penghujung tahun lalu.

Malah, sumber yang dipetik portal berkenaan mendakwa beberapa pertemuan sulit melibatkan ahli perniagaan itu diadakan di Kuala Lumpur dengan perlindungan delegasi tertentu dari China.

Jho Low sebelum ini menjadi antara individu paling dikehendaki berhubung skandal penyelewengan dana 1MDB yang menggemparkan dunia dan membawa pelbagai tindakan undang-undang di beberapa negara.

Pada Rabu lalu, The Wall Street Journal melaporkan sekiranya permohonan pengampunan berkenaan diluluskan, semua pertuduhan jenayah yang sedang dihadapinya di Amerika Syarikat berkemungkinan digugurkan.

BBerkaitan

Latest articles