KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat tafsiran atau kesimpulan secara emosi berhubung kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, Isnin lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata perkara itu perlu dilihat berdasarkan fakta dan keseluruhan situasi, termasuk mengambil kira bahawa Dr Mahathir sebelum ini sudah mendapat kelulusan untuk melakukan perjalanan ke Thailand.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Dr Mahathir mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ke Thailand dari 28 hingga 31 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu pula jadual perjalanan Dr Mahathir ke Thailand berubah. Jadi, tidak wajar untuk membuat sebarang andaian terhadap mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kehadiran Dr Mahathir pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada pagi Isnin lalu mencuri perhatian selepas beliau dilihat hadir menyaksikan persembahan yang berlangsung.
Tiong berkata, sekiranya berlaku perubahan jadual perjalanan, perkara itu boleh dimaklumkan kepada kerajaan mengikut prosedur ditetapkan bagi membatalkan urusan perjalanan yang telah diluluskan.
Malah, katanya, jika Dr Mahathir membuat keputusan untuk menghadiri sambutan berkenaan, perkara itu juga boleh dimaklumkan kepada Perdana Menteri atau pihak penganjur bagi membolehkan persiapan serta pengaturan tempat duduk dibuat.
“Walaupun pada pagi sambutan berkenaan, malah pada saat-saat akhir sekalipun, sekiranya beliau memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa beliau ingin hadir, saya percaya tempat duduk beliau masih boleh diatur,” katanya.
Tiong berkata, masyarakat tidak seharusnya membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu paparan pada hari sambutan sehingga timbul dakwaan bahawa Dr Mahathir dipinggirkan kerajaan atau tidak dibenarkan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau turut menegaskan isu berkenaan tidak wajar diperbesar sehingga dikaitkan dengan dakwaan bahawa Malaysia tidak menghormati warga emas atau tidak menghargai negarawan yang berjasa.
“Walaupun kita mempunyai perbezaan politik, kita tetap perlu menghormati kedudukan beliau sebagai bekas pemimpin negara serta sumbangan dan jasa yang pernah dicurahkan kepada Malaysia.
“Namun, soal menghormati negarawan dengan urusan pentadbiran dan protokol adalah dua perkara yang berbeza serta tidak wajar dicampur-adukkan,” katanya.
Menurutnya, isu pentadbiran atau protokol semasa sambutan Hari Kebangsaan juga tidak seharusnya dijadikan asas untuk membina naratif bahawa Malaysia tidak menghormati orang tua atau tokoh yang berjasa.
Tiong turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil isu politik dan mengangkatnya menjadi isu budaya, lebih-lebih lagi sehingga mencetuskan sentimen perkauman atau ketegangan antara kaum.
Katanya, setiap individu berhak mempunyai pandangan berbeza dan mengkritik keputusan kerajaan, namun kritikan perlu dibuat berdasarkan fakta serta kefahaman terhadap keseluruhan situasi.
“Jangan kerana kita sudah mempunyai emosi atau tanggapan tertentu, kita kemudiannya mereka cerita untuk menyokong tanggapan tersebut,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak terburu-buru menuding jari kepada Perdana Menteri dan kerajaan tanpa memahami keadaan sebenar.
Katanya, isu yang dipolitikkan sehingga menimbulkan sentimen perkauman atau budaya bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat tempatan, malah berpotensi menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pelancong, pelabur dan masyarakat antarabangsa dari seluruh dunia turut mengenali Malaysia melalui laporan media dan media sosial,” katanya.
Tiong berkata Malaysia perlu terus menampilkan imej sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, inklusif, mesra dan hidup dalam suasana harmoni.
Menurutnya, keharmonian masyarakat majmuk bukan sahaja aset budaya negara, malah menjadi sebahagian daripada daya tarikan Malaysia kepada dunia.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli politik, khususnya mereka yang pernah memegang jawatan sebagai pemimpin negara, supaya lebih menyedari tanggungjawab serta kesan daripada setiap kenyataan dan tindakan yang dibuat.
“Dalam politik, kita boleh mempunyai pendirian yang berbeza, mengkritik kerajaan dan menyuarakan rasa tidak puas hati.
“Namun, apabila sesuatu perkara menyentuh imej negara, budaya masyarakat dan hubungan antara kaum, maka kita semua perlu lebih berhati-hati, matang serta bertanggungjawab,” katanya.










