KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan dakwaan bahawa kementerian itu telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan, sambil menegaskan penggunaan istilah berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar berkaitan komitmen dan pembayaran projek kerajaan.
Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Akhbar Kanan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil, berkata tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan.
Katanya, setiap permohonan peruntukan perlu dibentangkan kepada Kementerian Kewangan, manakala perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan termasuk Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).
“Setiap projek atau program pembangunan juga perlu mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi.
“Sekiranya benar berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara tersebut tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibelanjakan tanpa butiran serta peruntukan yang telah diluluskan.
KKDW turut mempersoalkan ketiadaan data bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 dalam kenyataan Kementerian Kewangan, yang disifatkan penting bagi melihat kedudukan keseluruhan antara komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.
Menurut kementerian itu, tempoh berkenaan menyaksikan negara berdepan pandemik COVID-19 yang menyebabkan sebahagian pelaksanaan projek terjejas.
Bagaimanapun, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu telah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud antara 2019 hingga 2021.
“Apabila projek-projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.
“Ini bermakna apabila kerja telah dilaksanakan oleh kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak,” katanya.
KKDW menjelaskan projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan hampir digunakan sepenuhnya.
Dalam pada itu, kementerian berkata beberapa langkah kawalan telah diambil lebih awal bagi mengurus kedudukan kewangan berkenaan.
Antaranya termasuk penyusunan semula peruntukan dalaman kementerian, mengehadkan komitmen baharu, membatalkan tender berimpak tinggi untuk masyarakat desa serta mengehadkan projek di peringkat pra-pelaksanaan.
KKDW turut memaklumkan bahawa permohonan rasmi telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada suku kedua 2026 bagi menampung keperluan pembayaran tertangguh untuk projek-projek yang sedang berjalan.
Mengulas peruntukan RM300 juta yang diumumkan, KKDW berkata jumlah itu perlu diperjelaskan kerana ia bukan peruntukan tambahan baharu seperti yang digambarkan.
Sebaliknya, kementerian itu berkata RM300 juta berkenaan adalah peruntukan yang sewajarnya disalurkan dan telah diberikan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada petang 1 September 2026.
Menurut KKDW, SKB itu dikeluarkan selepas isu berkenaan disuarakan sekali lagi oleh Timbalan Perdana Menteri pada pagi hari sama.
“Peruntukan ini bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan RM300 juta tersebut sebagai peruntukan tambahan baharu kepada KKDW,” katanya.
Bagaimanapun, KKDW menghargai kelulusan dan penyaluran RM300 juta berkenaan, namun memaklumkan jumlah itu masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran yang dihadapi.
Kementerian itu berkata pelarasan lanjut hanya akan dibuat pada hujung 2026 berdasarkan penjimatan atau lebihan baki peruntukan kementerian.
KKDW turut menjelaskan bahawa peruntukan berkaitan projek berkenaan tidak dibayar secara terus oleh kementerian kepada kontraktor pelaksana.
Sebaliknya, peruntukan akan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau agensi yang menyelia pelaksanaan projek.
Menurut kenyataan itu, pelbagai sesi konsultasi dan perbincangan sebelum ini telah diadakan bersama Kementerian Kewangan dan JKR, namun sebahagian perkara yang dibangkitkan masih tertangguh dan belum mendapat penyelesaian tuntas.
KKDW menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya menjadi pertikaian antara kementerian, sebaliknya penyelesaian segera perlu dicari bagi memastikan komitmen pembayaran kerajaan yang telah wujud dapat diselesaikan.
“KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh supaya segala komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan baik.
“Ini juga bagi memastikan persepsi seolah-olah KKDW melakukan kesalahan dalam perbelanjaan dan tidak berhemah dari segi amanah peruntukan,” katanya.










