Bayi Lelaki Ditemui Dalam Tandas OKU LTAPP, Dua Termasuk Warga Rohingya Ditahan

BAYAN LEPAS: Misteri penemuan seorang bayi lelaki di dalam tandas orang kurang upaya (OKU) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 31 Ogos lalu membawa kepada penahanan dua individu bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek, masing-masing lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun dan wanita tempatan berusia 23 tahun, ditahan di Kompleks Bukit Jambul selepas polis mengesan mereka menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab, berkata siasatan bermula selepas seorang pekerja pembersihan menemui bayi terbabit dalam tong sanitari di tandas berkenaan.

Menurutnya, pekerja berkenaan terdengar bunyi tangisan sebelum membuat pemeriksaan dan menemukan bayi lelaki tersebut.

“Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hasil semakan lanjut mendapati lelaki warga Myanmar yang ditahan itu bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, beberapa video mengenai kejadian berkenaan tular di media sosial, memaparkan bayi lelaki ditemukan dalam tong sanitari berwarna biru.

Bayi terbabit dilaporkan masih mempunyai tali pusat dan uri ketika ditemukan.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles