‘Madu Atau Racun’: CMCF, Finas Temui Produksi, iQIYI Hari Ini

KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan platform penstriman iQIYI petang ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan drama Madu atau Racun yang mencetuskan kontroversi dan keresahan masyarakat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut dijangka menyertai pertemuan berkenaan.

Menurutnya, kementerian mengambil perhatian terhadap kebimbangan masyarakat susulan penayangan drama berkenaan di platform iQIYI.

“Walaupun kandungan drama dan filem yang disiarkan melalui platform Over-The-Top (OTT) pada masa ini tidak tertakluk secara langsung kepada pemantauan pelesenan Finas, kementerian mengarahkan CMCF di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Finas mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan iQIYI.

“Pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan drama yang dimaksudkan,” katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Jemaah Menteri.

Fahmi berkata Finas mempunyai bidang kuasa berkaitan aktiviti perfileman dan pawagam, manakala SKMM bertanggungjawab terhadap aspek penyiaran televisyen dan komunikasi.

Katanya, platform OTT ketika ini masih belum tertakluk sepenuhnya kepada kerangka pelesenan sama seperti penyiaran konvensional.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kandungan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

“Kebebasan berkarya perlu disertai dengan tanggungjawab untuk menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara,” katanya.

Beliau berkata tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya hasil penilaian dan siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap garis panduan, peraturan atau ketetapan yang berkuat kuasa.

Finas dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut selepas pertemuan berkenaan, termasuk hasil perbincangan dan tindakan susulan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, dalam kenyataan pagi ini berkata pihaknya menolak penayangan drama Madu atau Racun dan kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.

Drama 12 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd itu mula ditayangkan menerusi platform iQIYI pada 14 Ogos.

BBerkaitan

Latest articles